mutakhir

393 Pati, 72 tekong ditahan cuba bolos sempadan negara

Oleh Hayati Ibrahim dan Yusmizal Dolah Aling

KERAJAAN akan terus memantau dan meningkatkan kawalan kawasan sempadan negara terutama lorong tikus bagi menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan ketat secara bersepadu itu dilakukan menerusi Ops Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM); Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM).

Katanya, ia penting bagi menyekat sempadan negara daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan, pada masa sama mengekang penularan wabak Covid-19.

"Dari 1 Mei hingga semalam, seramai 393 Pati dan 72 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram terutama melalui lorong tikus.

"Turut ditahan 11 individu yang disyaki penyeludup dan 12 kapal," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, agensi penguat kuasa juga berjaya mengusir 132 Pati, lima tekong serta 17 kapal yang cuba membolosi kawasan sempadan negara.

Katanya, operasi bersepadu ini juga berjaya menahan 1,517

warga asing yang menceroboh sempadan negara.

"Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

"Agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan sempadan terutama lorong tikus," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 3:48pm
d