mutakhir

Saham akhirat jaga suami terlantar

Oleh Mahaizura Abd Malik

"DEGUPAN jantung suami pernah terhenti tujuh minit pada September 2017, namun Allah masih panjangkan nyawanya sampai sekarang," kata Nor Diana Liza Hashim,35.

Menurutnya, dia reda dan menganggap tugas dan kesempatan Allah beri untuk dia berbakti kepada suami adalah saham akhirat.

Nor Diana Liza diuji apabila Radin Abu Bakar Abd Rahman, 35, menghidap masalah paru-paru kronik serta kerosakan saraf otak menyebabkannya terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada susu khas menggunakan tiub sejak tiga tahun lalu.

Ibu dua anak itu berkata, sejak itu dia menggalas tugas suaminya, menyara keluarga termasuk membesarkan dua anak mereka berusia 10 dan 12 tahun dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan.

"Suami hanya terlantar dan tidak boleh lagi berinteraksi dengan kami sejak 2017 kerana sistem otaknya rosak selain masalah semput dan paru-paru kronik.

"Sebelum ini, saya mengambil tempahan menjahit bagi membantu suami yang membuat kerja pendawaian rumah penduduk kampung, namun selepas dia terlantar saya membuat keputusan bekerja sebagai pengawal keselamatan," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dengan pendapatan RM900 dia perlu menguruskan perbelanjaan termasuk sewa rumah, persekolahan anak serta keperluan suami yang memakai lampin pakai buang dan susu khas.

"Suami menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM250 serta RM350 daripada Baitulmal, namun jumlah itu masih tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos susu khas dan lampin pakai buang berjumlah RM1,700 sebulan.

"Adakalanya kami terputus bekalan makanan, tetapi syukurlah masih ada jiran dan rakan sudi membantu termasuk memberikan beras, malah sebelum ini juga saya terpaksa menjual sebuah motosikal dan mesin jahit untuk menampung keperluan suami dan anak-anak.

"Kini, saya sedang mempertimbangkan menjual lagi sebuah motosikal milik saya bagi meneruskan kelangsungan kerana wang bantuan dan gaji tidak mencukupi," katanya yang menetap di Batu Pahat, Johor.

Mengenai pembahagian masa antara kerja dan menguruskan suaminya, Nor Diana Liza berkata, rutinnya menyediakan semua keperluan suami sebelum ke tempat kerja serta berulang alik menjenguk lelaki itu pada waktu rehat.

"Selepas Subuh, saya akan membersihkan badan suami dan menukar lampin serta memberikan susu khas itu sebelum masuk kerja 8 pagi.

"Pada waktu rehat, saya balik ke rumah sekejap untuk mengulangi rutin sama sebelum masuk balik kerja.

"Saya perlu bekerja daripada 8 pagi sampai 8 pagi keesokannya, kadang-kadang terpaksa mengharapkan bantuan anak-anak untuk menjaga bapa mereka," katanya yang boleh dihubungi menerusi talian 012-7872783.

Nor Diana Liza tular baru-baru ini apabila mengiklankan penjualan motosikal Yamaha 125ZR di Facebook bagi menampung kos keperluan suaminya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 4:48pm
d