mutakhir

Kerajaan lantik peneraju baharu MAB, PETRONAS

Oleh Suraya Roslan

KERAJAAN melantik peneraju baharu bagi memperkukuhkan dua syarikat milik kerajaan menghadapi norma dunia yang baharu.

Mereka adalah Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin yang dilantik Pengerusi Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) berkuat kuasa 1 Julai depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, dalam suasana ekonomi mencabar sekarang terdapat beberapa syarikat kerajaan yang perlu diperkukuhkan lagi bagi menghadapi norma dunia yang baharu.

Katanya, kerajaan dalam hal ini meneruskan usaha mengkaji semula kepimpinan syarikat milik kerajaan bagi memastikan penyelarasan dasar dan pencapaian objektif sosioekonomi negara.

"Sehubungan itu, saya ingin mengumumkan pelantikan Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin sebagai Pengerusi MAB baharu.

"Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dilantik sebagai Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan baharu di syarikat PETRONAS," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi pihak kerajaan Malaysia, beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas kepimpinan dan sumbangan Tan Sri Wan Zulkiflee selama 37 tahun bersama PETRONAS.

"Beliau berjaya mengekalkan PETRONAS sebagai salah sebuah syarikat kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan ditadbir dengan cemerlang.

"PETRONAS juga adalah satu-satunya syarikat kerajaan yang mempunyai penilaian kredit antarabangsa yang baik dan masih tersenarai dalam Fortune Global 500.

"Saya percaya di bawah kepimpinan beliau, syarikat MAB akan dapat distruktur semula dan terus berkembang sebagai syarikat penerbangan nasional yang berdaya tahan dan mampan serta mempunyai tadbir urus yang baik," katanya.

Menurutnya, industri minyak dan gas kini melalui cabaran yang hebat dengan ketidaktentuan harga minyak dan ekonomi global yang merundum.

"Saya percaya dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki Tengku Muhammad Taufik, beliau bersama Pengerusi sedia ada, Datuk Ahmad Nizam Salleh akan dapat memimpin PETRONAS ke mercu kecemerlangan," katanya.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 5:12pm
d