mutakhir

Ainul boleh berdiri, sudah pandai sebut 'lalala'

Oleh Amir Mamat

AINUL Mardhiah Ahmad Safiuddin yang membuang ketumbuhan dalam mulut di London, United Kingdom (UK), setahun lalu sudah boleh berdiri dan mengeluarkan suara.

Bapanya Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 25, berkata, kesihatan puteri sulung berusia 21 bulan itu juga semakin baik, boleh berdiri lama dan duduk tegak apabila dibantu.

Katanya, Ainul Mardhiah juga sudah pandai menggunakan lidah selain menyebut 'lalala' seperti kanak-kanak lain.

"Melihat keadaan Ainul yang semakin lasak dan pandai bermain sendiri, saya dan isteri perlu beri perhatian lebih ketika dia minum susu menggunakan mesin kerana pernah terjadi mesin terbalik ditarik Ainul serta terkena sedikit di kepalanya.

"Sejak itu, apabila Ainul menyusu, kami akan berikan fokus sekurang-kurangnya sejam dan tidak boleh biarkan dia bermain ketika itu kerana bimbang insiden berulang," katanya ketika ditemui selepas kunjungan Ketua Menteri Melaka Datuk Sulaiman Md Ali di kediamannya di Taman Desa Molek, Melaka, hari ini.

Menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Ahmad Safiuddin berkata, walaupun perayaan disambut ketika negara berdepan pandemik Covid-19, mereka tetap meraikan dengan meriah kerana perkembangan Ainul yang semakin baik.

"Alhamdulillah, berkat doa semua dapat juga kami sekeluarga meraikan Aidilitiri bersama Ainul dan berharap Allah sentiasa memberkati kehidupan kami sekeluarga dan dipanjangkan usia Ainul dengan kesihatannya semakin baik," katanya.

Ainul Mardhiah sebelum ini menjalani pembedahan membuang ketumbuhan seberat 200 gram di mulut selepas bertarung nyawa selama lima jam di hospital kanak-kanak di London, UK pada 10 Jun 2019 yang turut dibantu pelatih pakar bedah UK, Dr Nur Amalina Che Bakri.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 6:36pm
d