mutakhir

Bot berpusing tengah laut, jurumudi hilang

Oleh Abdul Rahemang Taiming

SEORANG lelaki dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ketika menaiki bot di kawasan perairan Teluk Cowie, berhampiran Tawau Lama, dekat Tawau, 5.30 petang semalam.

Nurul Maslan Sabran, 34, dikatakan dalam perjalanan ke Sungai Melayu di Pulau Sebatik berseorangan sebelum laporan kehilangannya dibuat selepas dia tidak muncul di rumah ahli keluarganya di pulau itu.

Bimbang dengan keselamatannya, adik mangsa Ismail Sabran, 33, tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, 12 tengah hari tadi.

Menurutnya, mereka sekeluarga terkejut apabila dimaklumkan pihak berkuasa yang menemui bot dipercayai dinaiki abang di tengah laut.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai PPM yang melakukan Ops Benteng menemui bot di lokasi kejadian pada jam 5.50 petang.

"Ketika ditemui hanya bot tanpa jurumudi dengan keadaan enjin masih hidup dan berpusing-pusing.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot itu, anggota PPM menemukan beg galas berwarna hitam berisi dokumen pengenalan diri dan wang tunai RM13," katanya.

Nazari berkata, bot terbabit kemudiannya dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk siasatan lanjut dan keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai penemuan itu.

Disiarkan pada: June 6, 2020 @ 8:26pm
d