mutakhir

NS larang sembelih sendiri untuk ibadah korban

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

RAKYAT di Negeri Sembilan tidak dibenarkan mengadakan ibadah korban dengan menyembelih sendiri ternakan seperti kebiasaan sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata mereka yang berhasrat melakukan korban binatang ternakan perlu menghantar ke pusat penyembelihan diiktiraf bagi tujuan berkenaan.

Menurutnya ibadah korban yang dilakukan secara sendiri atau berkumpulan sama ada di masjid, surau atau rumah boleh mendatangkan masalah lain berikutan wujud akitiviti berkumpulan.

"Ia juga melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara ( MKN ) sekaligus memudahkan penyebaran Covid-19.

"Orang ramai boleh menghantar ternakan terbabit di empat pusat penyembelihan milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan tujuh milik swasta (yang beroperasi) diseluruh negeri ini," katanya ketika dihubungi.

Bakri berkata larangan melakukan ibadah korban secara sendiri itu bukan mahu menyusahkan orang ramai sebaliknya mahu memastikan keselamatan diri yang perlu diberi keutamaan daripada virus pembunuh itu.

Dalam perkembangan lain, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang berkata kerajaan dan MKN negeri akan mengikuti keputusan Kerajaan Persekutuan sama ada pasar tani atau pasar malam dibenarkan beroperasi atau sebaliknya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 11:47am
d