mutakhir

Keluar memancing setiap malam sebelum hilang

Oleh Siti Rohana Idris

"SETIAP malam abang akan keluar memancing di lokasi itu dan kami tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia tidak pulang menjelang tengah hari semalam," kata adik pemancing yang dikhuatiri lemas di sungai di Kampung Padang Sakar, Kota Bahru.

Wan Lokman Wan Hussein, 28, berkata abangnya, Wan Hafizan, 41, keluar dari rumahnya yang terletak tidak jauh dari sungai itu kira-kira 10 malam kelmarin untuk memancing.

Menurutnya, pada kebiasaannya abangnya itu akan pulang beberapa jam selepas itu atau waktu pagi sebelum Subuh namun kelibatnya tidak kelihatan sehingga menjelang tengah hari semalam.

"Saya mengajak beberapa rakan untuk mencarinya di lokasi memancing yang biasa dia pergi sebelum menemui motosikalnya di tebing (sungai).

"Kami juga ternampak batang pancingnya di dalam sebuah bot dan kasut but getah di jeti. Pencarian kami bermula sejak tengah hari sehingga ke petang semalam namun tidak berhasil sebelum memutuskan untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa," katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

Wan Lokman berkata abangnya yang bekerja kampung dan sudah berkeluarga itu seorang yang pandai berenang dan mustahil untuk lemas namun reda jika tragedi itu berlaku.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tunjong, Pegawai Bomba Kanan 1, Zainalfitri Husin, berkata operasi pencarian sudah dimulakan sejak malam tadi.

"Kita mulakan dengan pencarian di permukaan sungai bermula di lokasi mangsa memancing sehingga ke Kuala Besar.

"Operasi diteruskan pagi ini dan seramai enam anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu membuat selaman sekitar 100 meter sekitar lokasi jeti," katanya.

Berita berkaitan

Hanya tinggal bot, pemancing dikhuatiri lemas

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 12:02pm
d