mutakhir

Tragedi pulang ke rumah

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

PERJALANAN pulang ke rumah seorang lelaki berakhir tragedi apabila motosikal ditungganginya hilang kawalan dan melanggar sebuah lagi motosikal di Jalan Parit 9, Sungai Panjang, Sungai Besar, semalam.

Dalam kejadian 11 pagi itu, mangsa berusia 56 tahun maut di lokasi akibat parah di kepala.

Manakala dua lagi mangsa iaitu seorang bapa dan anak perempuan berusia 40 dan enam tahun, masing-masing cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Agus Salim Mohd Alias berkata, mangsa yang menunggang Yamaha Y15ZR bersendirian itu dalam perjalanan dari Parit 5 menuju ke rumahnya di Parit 11.

Katanya, dua lagi mangsa yang menunggang Yamaha Lagenda dalam perjalanan dari rumah mereka di Parit 8 Timur menuju ke sebuah stesen minyak di Parit 13, Sungai Panjang.

"Tiba di lokasi, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang Yamaha Lagenda.

"Pelanggaran menyebabkan kedua-dua motorsikal jatuh di atas jalan raya bersama penunggang dan pembonceng," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Agus Salim berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 12:26pm
d