mutakhir

3 kanak-kanak positif Covid-19 di Kuala Langat

Oleh Norzamira Che Noh

TIGA kanak-kanak berusia dua dan 10 tahun antara sembilan individu yang disahkan positif wabak Covid-19 di Taman Langat Utama serta Taman Langat Murni, Bukit Changgang, Kuala Langat setakat jam 12 tengah hari ini.

Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim, berkata ketiga-tiga kanak-kanak perempuan itu adalah warganegara yang mana dua daripadanya tinggal di Taman Langat Murni iaitu di zon B dan C manakala seorang lagi di Taman Langat Utama (zon A).

"Daripada kesemua sembilan kes positif yang direkodkan, tujuh membabitkan warganegara dan dua lagi membabitkan seorang warga Nepal serta Thailand.

"Sementara itu, sehingga 12 tengah hari semalam, sejumlah 4,627 penduduk sudah selesai disaring oleh Jabatan Kesihatan Daerah Kuala Langat yang membabitkan tiga zon. Daripada jumlah itu, 3,686 adalah warganegara manakala 941 bukan warga negara," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Operasi Perintah Kawalan Pergerakan Secara Pentadbiran (SEMCO) di Kuala Langat, hari ini.

Beliau berkata, saringan mula dilakukan pada 30 Mei lalu selepas 20 orang pekerja pembersihan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang menetap di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama disahkan positif Covid-19.

Katanya, saringan awal dilakukan secara sukarela manakala bermula 2 Jun lalu iaitu hari pertama SEMCO dilaksanakan di daerah itu, pihaknya mewajibkan penduduk untuk melakukan saringan.

"Kita juga terpaksa melakukan pemeriksaan daripada rumah ke rumah untuk memastikan tiada penduduk yang tertinggal seterusnya tidak menjalani saringan," katanya.

"19 orang daripada 20 orang kes positif yang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) sudah dibenarkan keluar daripada hospital dan dihantar pulang ke rumah di Taman Langat Murni dan Taman Langat Utama pada 4 Jun lalu," katanya.

Menurutnya, 114 orang kontak rapat yang berada di Stesen Kuarantin Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) (52 orang) dan Stesen Kuarantin Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) (62 orang) juga sudah sembuh dan dihantar pulang ke rumah semalam.

"Kesemua 133 individu berkenaan juga diarahkan untuk menyambung dikuarantin di rumah masing-masing sehingga tamat tempoh SEMCO pada 16 Jun," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 1:20pm
    d