mutakhir

MY30 beri manfaat 1 juta pengguna sehari

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

PROGRAM MY30 yang hanya perlu membayar RM30 sahaja sebulan untuk menikmati pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam bakal memberi manfaat kepada kira-kira sejuta pengguna sehari di Lembah Klang.

Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, program itu membabitkan empat perkhidmatan iaitu Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), KL Monorail dan bas Rapid KL.

Menurutnya, program yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Jumaat lalu dapat meringankan beban rakyat yang menggunakan perkhidmatan awam.

"Dalam sebulan, hampir 24 juta pengguna menggunakan empat kemudahan itu dan semua warganegara yang menggunakannya akan mendapat faedah yang diumumkan kerajaan menerusi Prasarana.

"Pengguna akan diberikan pas dengan hanya membayar RM30 saja dan boleh ke mana saja. Program dapat mengurangkan kos perjalanan rakyat," katanya selepas melawat pusat pemindahan sementara mangsa banjir di Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, Teluk Intan, hari ini.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, perincian mengenai program berkenaan akan dijelaskan pada pelancaran program itu yang dijangka pada 16 Jun ini.

Jumaat lalu, Muhyiddin ketika mengumumkan Penjana berkata, program MY30 diperkenalkan dengan bayaran RM30 sebulan untuk pas perjalanan tanpa had bagi pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana di Lembah Klang yang terbuka kepada semua warganegara berkuatkuasa 15 Jun hingga hujung Disember ini.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 1:56pm
d