mutakhir

Tak sabar kembali berniaga

Oleh Ramli Ibrahim

LEBIH 300 peniaga pasar minggu di bandar Gua Musang tidak sabar untuk kembali memulakan perniagaan mereka bermula 15 Jun ini selepas hilang punca pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 dikuatkuasakan.

Peniaga pasar minggu, Salmah Hashim, 43, berkata, sepanjang PKP dia terpaksa menggunakan wang pusingan perniagaan untuk perbelanjaan keluarga.

Katanya, walaupun berdepan dengan masalah modal bagi memulakan semula perniagaan itu, ia bukanlah halangan untuk dia kembali berniaga.

Peniaga pakaian itu berkata, dia mungkin terpaksa menggadaikan barang kemas bagi mengumpulkan modal pusingan supaya dapat membeli stok untuk memenuhi permintaan pelanggan.

"Alhamdulillah, kami dibenarkan memulakan perniagaan semula di pasar minggu seperti diumumkan kerajaan bermula 15 Jun ini," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, Peniaga makanan, Kamarudin Ishak, 52, mengakui mengalami masalah sama seperti Salmah yang mana sepanjang PKP, wang simpanannya dibelanjakan untuk kegunaan harian.

"Nasib baik kerajaan cepat membuat keputusan untuk benarkan semula perniagaan di pasar minggu.

"Jika tidak banyak lagi wang (simpanan) terpaksa dibelanjakan (untuk) keluarga sedangkan pendapatan daripada sumber perniagaan itu terjejas," katanya.

Rata-rata peniaga gembira dengan pengumuman kerajaan yang membenarkan semula peniaga kembali beroperasi di pasar pagi, bazaria dan pasar malam.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 2:39pm
d