mutakhir

Pekema harap kerajaan beri diskaun cukai

Oleh Norsyazwani Nasri

YAYASAN Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) Cawangan Sarawak berharap kerajaan dapat memberi diskaun sebanyak 50 peratus ke atas cukai jualan membabitkan semua stok kenderaan sedia ada dan tidak hanya tertakluk kepada kenderaan yang diimport dalam tempoh masa 15 Jun hingga 31 Disember ini.

Presidennya Tan Sri Abang Khalid Abang Marzuki berkata, pihaknya juga mahu kerajaan memperkenalkan program pengecualian cukai yang lebih spesifik yang dapat memberi impak kepada perniagaan seperti Insentif Pengurangan Duti Import dan Eksais.

"Jika duti ini dapat dikurangkan, kita yakin harga kenderaan yang lebih berpatutan dapat ditawarkan kepada pembeli kereta seterusnya merancakkan semula industri automotif tempatan.

"Buat masa ini, hampir keseluruhan ahli Pekema berdepan masalah dengan lambakan stok kenderaan yang diimport dan sampai di gudang sebelum 15 Jun 2020," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, jika pengecualian itu turut merangkumi kenderaan terbabit, beliau percaya ia akan dapat dijual.

"Ini sekali gus mengurangkan jumlah stok sedia ada dan seterusnya ahli Pekema dapat mengimport semula stok kenderaan.

"Kita berterima kasih kepada kerajaan di atas keprihatinan dengan melancarkan program Penjana, dalam industri automotif, teras ransangan ekonomi itu adalah melibatkan pengenalan kepada insentif cukai pembelian kereta," katanya.

Beliau berkata, Pekema memahami bahawa pengumuman yang dibuat terutama membabitkan pengecualian pembayaran cukai jualan ke atas Kenderaan Pemasangan Tempatan (CKD) iaitu sebanyak 100 peratus manakala 50 peratus pula bagi Kenderaan Import Sepenuhnya (CBU) melibatkan stok kenderaan import yang sampai di gudang bermula 15 Jun sehinggalah 31 Disember ini.

"Kerisauan pihak pemain industri masa ini ialah bagaimana pula dengan stok kenderaan yang telahpun tiba sebelum 15 Jun 2020.

"Stok kenderaan ini masih lagi tidak terjual ekoran Perintah Kawalan Pergerakan dan kemerosotan ekonomi negara bermula pertengahan Mac lalu," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 2:42pm
d