mutakhir

Demi 'survival', penjual pakaian jual petai, ikan

Oleh Amir Abd Hamid

DI MANA ada kemahuan di situ ada jalan. Itu ungkapan sesuai bagi usahawan kecil yang gigih berusaha demi kelangsungan hidup walaupun terpaksa menukar model perniagaan.

Selepas kerajaan memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu hingga kini PKP Bersyarat (PKPB) untuk cegah penularan Covid-19, banyak perniagaan terjejas.

Bagi pasangan suami isteri yang dahulunya menjual pakaian, kini mereka berniaga barangan basah termasuk ikan dan idea itu timbul disebabkan PKP.

Perintah PKP menyebabkan Uptown Shah Alam di Seksyen 24 Shah Alam ditutup, lokasi terletaknya butik pakaian dan tudung mereka.

"Tetap berniaga. Namun adalah sedikit perbezaan. Contohnya ketika berniaga pakaian, stok boleh simpan lama dan kurang risiko barang rosak.

"Ini berbanding berniaga barang basah. Memang permintaan tinggi. Barang kena segar untuk tarik pelanggan.

"Barang tak boleh simpan dalam tempoh stok yang lama sebab risikonya tinggi untuk rosak sekali gus rugi," kata Nor Faizah Ibrahim, 30-an.

Norfaizah sudah berniaga pakaian dan tudung sejak 10 tahun lalu berkata, dia bersama suaminya Mohammad Solihin Mohd Hisham, 30-an, mula menjual barang basah di kawasan kejiranan mereka.

Menurutnya, walaupun sudah seronok berniaga barangan basah namun akan menyambung semula perniagaan baju dan tudung selepas dibenarkan beroperasi kelak seperti diumumkan kerajaan untuk membenarkan operasi bermula 15 Jun ini.

"Saya difahamkan, pembukaan semula Uptown Shah Alam masih dalam perbincangan dan jika dibenarkan operasi semula perlu memenuhi prosedur operasi standard (SOP) tertentu.

"Kami akan menyambung semula perniagaan jualan baju dan tudung namun pada masa sama akan meneruskan jualan barangan basah sekiranya ada permintaan," katanya.

Berlainan pula bagi bekas wartawan Harian Metro, Muhammad Rizanizam Abdul Hamid, 39, yang berkata, dahulu dia bersama rakannya berniaga makanan.

Namun, ketika awal PKP, dia mendapat idea untuk menjalankan perkhidmatan personal shopper atau runner di sekitar Melaka dan kawasan tempat tinggalnya.

"Sebelum ini saya dan rakan menjalankan perniagaan jual makanan di gerai tepi jalan yang diusahakan secara bersama.

"Masa itu kami baru dua bulan berniaga makanan. Bermulanya PKP, perniagaan kami terpaksa ditutup.

"Sewaktu PKP, saya melihat di media sosial ada banyak permintaan terhadap runner atau pun personal shopper dan ia menimbulkan idea untuk saya ceburi," katanya yang bermula jadi 'runner runcit' sejak 27 Mac lalu.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 3:00pm
d