mutakhir

Tukang kebun mengaku tidak bersalah lakukan amang seksual

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

SEORANG tukang kebun didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia lapan tahun.

Tertuduh berusia 53 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa di rumah di Marang, pada Julai 2019.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 13 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahkan dokumen dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi sepanjang prosiding berlangsung.

Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali setiap bulan selain menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Syafikah Mohd Shafie.

Difahamkan, mangsa menceritakan kepada ibunya yang dia dicabul oleh tertuduh pada jam 3 petang, 10 Mei lalu.

Mangsa memaklumkan perbuatan itu dilakukan ketika dia bermalam di rumah tertuduh sejak 2015 dan berlarutan sehingga tahun lalu.

Mangsa mendakwa tertuduh ada mengugut yang dia akan kehilangan orang tersayang sekiranya menceritakan kejadian itu.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 3:00pm
d