mutakhir

Dikompaun RM20,000 jual pelitup muka mahal

Oleh Hamzah Osman

PEMILIK kedai perkakasan di pekan Kuah di Langkawi dikompaun RM20,000 selepas didapati menjual pelitup muka dengan harga RM1.80 sekeping.

Kesalahan itu dikesan sepasukan penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Langkawi menerusi Pemeriksaan Khas Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4.30 petang semalam.

Ketua Pejabat KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata, dalam serbuan itu, pihaknya turut merampas 2,859 pelitup muka.

"Tindakan diambil mengikut Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan peniaga itu diberikan masa 14 hari untuk membayar kompaun.

"Peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga jualan bagi tujuan mengaut keuntungan lebih terutamanya ketika PKPB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, peniaga juga perlu mematuhi semua peraturan ditetapkan kementerian termasuk meletakkan label, tanda harga, menyenggara dan mempamer senarai harga serta mematuhi harga barang kawalan berjadual.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang didapati gagal mematuhi peraturan ditetapkan.

"Manakala pengguna juga diingatkan supaya bijak menggunakan hak dalam berbelanja ketika PKPB bagi mengelak dimanipulasi para peniaga," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 3:09pm
d