mutakhir

Banteras sebelum lebih parah...

Oleh Mahaizura Abd Malik

PIHAK berkuasa perlu menggempur dan memantau sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kewujudan sindiket berkenaan perlu dibanteras kerana dibimbangi akan mendatangkan pelbagai risiko kepada negara.

"Pemalsuan keputusan ujian saringan Covid-19 ini amat serius kerana boleh menyukarkan dan menjejaskan usaha dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selama ini dalam memutuskan rantaian Covid-19.

"Amat membimbangkan jika dokumen palsu itu juga diguna pakai untuk menyakinkan majikan mengenai tahap kesihatan pekerja asing sedangkan mereka tidak menjalani ujian saringan secara sah," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, MCPF mencadangkan pihak berkuasa menggempur sindiket berkenaan habis-habisan selain perlu wujud kesedaran dari kalangan majikan dan orang awam mengenai penipuan terbabit.

"MCPF mencadangkan pihak berkuasa terus memantau aktiviti (penipuan) ini kerana ia boleh merumitkan keadaan dan usaha kerajaan memerangi Covid-19, selain mendedahkan Malaysia kepada risiko jangkitan wabak ini.

"Kita juga menasihati masyarakat terutama majikan berwaspada dengan penipuan ini," katanya.

Jumaat lalu, polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan wabak itu di Jalan Alor, di sini, dengan penahanan dua lelaki warga Bangladesh.

Berita berkaitan

Polis tumpaskan sindiket pemalsuan keputusan saringan Covid-19

Serah kepada PDRM untuk ambil tindakan

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 4:46pm
d