mutakhir

Dua ditahan, dua lagi geng pecah rumah diburu

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

CUBAAN empat lelaki warga asing memecah masuk kediaman di The Strand, Petaling Jaya digagalkan pihak polis yang membuat rondaan di lokasi terbabit, semalam.

Dalam kejadian 9.45 malam, sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan cegah jenayah terserempak dengan sebuah kereta Honda City dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, anggota polis menahan kereta itu untuk diperiksa, namun kenderaan dinaiki suspek memecut laju dan cuba merempuh mereka.

"Anggota polis kemudian terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah tayar hadapan dan belakang kenderaan terbabit.

"Kenderaan suspek turut merempuh beberapa kenderaan lain dalam cubaan melarikan diri dan mereka dikejar sehingga ke kawasan sebuah flat di Kota Damansara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kenderaan terbabit akhirnya berjaya dihentikan dengan dua daripada suspek ditahan di lokasi berkenaan, manakala dua lagi meloloskan diri.

"Ketika ditahan, suspek terbabit bertindak agresif apabila tidak memberi kerjasama menyebabkan anggota polis bertugas terpaksa menggunakan kekerasan minima untuk menahan mereka.

"Susulan tangkapan itu, seorang daripada suspek membawa pihak polis ke sebuah rumah di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

"Pemeriksaan di rumah berkenaan menemui pelbagai barang dipercayai hasil curi iaitu lima beg tangan berjenama, dua tali pinggang, dua jam tangan, satu kasut, satu pasport Amerika Syarikat, beberapa dokumen serta wang tunai berjumlah RM167," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 180 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Usaha memburu dua suspek yang masih lolos sedang giat dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 5:31pm
d