mutakhir

USIM tangguh majlis konvokesyen

Oleh Mohd Amin Jalil

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) akan menangguhkan majlis konvokesyen kali ke-18 tahun ini ke tahun hadapan, kata Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Dalam satu kenyataan di Nilai, hari ini, beliau berkata, penangguhan majlis itu selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Berikutan penangguhan itu, skrol ijazah dan transkrip akademik rasmi akan dikeluarkan kepada pelajar selepas mendapat pengesahan Senat USIM dan tertakluk kepada status keberhutangan pelajar.

"Tarikh majlis konvokesyen ke-18 yang baharu akan dimaklumkan menerusi pemakluman rasmi universiti berdasarkan kelulusan Senat USIM," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Ridza berkata, USIM bersetuju memberikan bantuan khas pelan data kepada penuntut daripada keluarga kategori berpendapatan rendah B-40 dengan kadar RM38 seorang setiap bulan selama tiga bulan.

Katanya, pihaknya sudah mengenal pasti lebih 3,000 penuntut USIM daripada kategori berkenaan akan menikmati bantuan terbabit.

"Bantuan itu akan dikreditkan ke dalam akaun penuntut bagi membantu mereka mendapatkan akses Internet untuk memudahkan mereka mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran secara maya," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 6:56pm
d