mutakhir

Tiba-tiba berasap, disambar api

Oleh Siti Rohana Idris

EMPAT beranak berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka terbakar dalam kejadian di Kampung Sedar, di Tumpat, petang tadi.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, pemandu wanita berusia 36 tahun menyedari kereta jenis Proton Wira dipandunya mengeluarkan asap disusuli api dari bahagian bonet hadapan.

Difahamkan, wanita itu bersama dua anak serta ibunya dalam perjalanan dari Kampung Geting ke Pasir Puteh sebelum bergegas keluar dari kenderaan berkenaan yang diberhentikan di bahu jalan untuk menyelamatkan diri.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3 petang mengenai kejadian itu.

"Seramai 14 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat dan Wakaf Bharu bergegas ke lokasi.

"Sebaik sampai, kenderaan itu sudah terbakar 80 peratus dan semua penumpang berjaya keluar menyelamatkan diri," katanya sambil memberitahu punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 8:08pm
d