mutakhir

'Terharu rindu bakal terubat'

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

"HANYA Allah tahu perasaan ini apabila mendengar pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kebenaran rentas negeri, petang tadi.

"Tumpah air mata saya ketika pengumuman itu dibuat selepas kali terakhir berjumpa dengan ibu yang tinggal di Felda Pasoh Tiga, Jempol pada cuti Tahun Baharu Cina, Januari lalu ," kata Rusbi Mohd Khalid.

Rusbi, 46, yang ketika ini menetap di Seri Kembangan, Kuala Lumpur berkata berikutan itu dia akan pulang ke kampungnya bersama suami dan dua anak pada Sabtu depan.

Katanya, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengajarnya erti rindu terhadap ibunya, Habibah Kassim, 70 yang turut menunggu kepulangan anaknya.

Katanya, apabila PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, ibunya memahami apabila ada anaknya tidak dapat pulang ke kampung dan bertabah sehingga PKP ditamatkan.

"Sepanjang tempoh PKP perasaan rindu itu memang ada dan bertambah sedih apabila mengenangkan ibu di kampung selain kerap menangis apabila teringat ibu.

"Mujur ada anak dan suami yang sentiasa memberi semangat kepada saya menghadapi situasi di luar jangkaan akibat Covid-19 ini sambil mengharapkan ada kelonggaran untuk merentas negeri bagi menjenguk ibu di kampung.

"Berkomunikasi menerusi panggilan video tidak sama seperti kita berdepan dengan empunya badan apatah lagi dapat memeluk insan kesayangan," katanya.

Akur dengan arahan prosedur operasi standard (SOP), Rusbi berkata, dia akan cuba untuk tidak memeluk ibunya biarpun tidak pasti mampu menahan dirinya daripada berbuat demikian.

Katanya, apa yang penting dapat berjumpa dengan ibunya dan melepaskan rindu terpendam selepas enam bulan tidak berjumpa.

"Saya dan keluarga akan ingatkan diri bagi mengamalkan normal baru disarankan seperti kerap membasuh tangan dan kebersihan diri apabila pulang ke kampung.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri dengan pengumuman yang cukup melegakan dan menggembirakan ini," katanya.

Disiarkan pada: June 7, 2020 @ 9:01pm
d