mutakhir

Nyaris maut kereta terbakar selepas langgar lembu

Oleh Safuri Kamarudin

LIMA sekeluarga nyaris terperangkap di dalam kenderaan terbakar berikutan terbabas akibat melanggar lembu yang berkeliaran di kilometer 46.1 Jalan Kulim-Baling-Grik, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian 9.15 malam itu, dua kenderaan dari arah Grik menuju Kulim terbabit dalam kemalangan selepas bertembung dengan lembu yang melintas jalan dalam cuaca gelap di kawasan itu.

"Pemandu kereta pertama jenis Honda BRV melanggar lembu yang melintas jalan dari arah kanan menyebabkan kereta jenis Proton Persona dinaiki lima sekeluarga turut melanggar haiwan itu kerana tidak sempat mengelak.

"Ekoran kejadian itu kereta yang dinaiki lima sekeluarga terbabas ke kanan jalan dan terbakar keseluruhannya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Basri berkata, semua mangsa selamat termasuk keluarga yang menaiki kereta Proton Persona kerana sempat keluar menyelamatkan diri.

"Siasatan lanjut dirujuk kepada Majlis Daerah Baling berkaitan banyak binatang peliharaan berkeliaran (lembu) di kawasan berkenaan. Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 LN 166/59," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 10:31am
d