mutakhir

7 mat rempit galak beraksi dicekup

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TINDAKAN tujuh 'mat rempit' melakukan pelbagai aksi di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan, awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, seramai 12 pegawai dan anggota daripada Unit Risikan Operasi yang diketuai Asisten Superintendan Ahmad Fuad Mahmod melakukan Op Samseng Jalanan di lokasi itu bermula 12.30 tengah malam hingga 3 pagi.

"Ketika risikan dilakukan, kami mendapati tujuh lelaki terbabit yang berusia antara 19 hingga 27 tahun menunggang motosikal secara berbahaya serta mempamerkan pelbagai aksi.

"Antara aksi dilakukan mereka adalah meniarap di atas motor atau dikenali sebagai aksi 'Superman', bersaing sesama sendiri, melakukan aksi 'Zig Zag' serta kejar-mengejar," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Zulkefly berkata, semakan mendapati tiga daripada mereka yang ditahan tidak mempunyai lesen.

"Seorang daripada lelaki ditahan berusia 19 tahun pernah ditahan di Dataran Merdeka sebelum ini kerana melakukan aksi mengangkat tayar hadapan atau dikenali sebagai 'Wheelie'.

"Selain itu, terdapat seorang penjawat awam berusia 24 tahun yang ditahan di antara mereka kerana melakukan aksi Superman," katanya.

Beliau berkata, mereka yang ditahan juga didapati melakukan kesalahan pengubahsuaian motosikal seperti sistem enjin untuk menambah kelajuan, penggunaan eksos bunyi kuat serta tayar motosikal kecil.

"Selain itu, ada motosikal yang ditunggang mereka didapati tidak memiliki cermin sisi, lampu depan dan hadapan.

"Semua yang ditahan bersama motosikal mereka dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 11:12am
d