mutakhir

7 pemandu mabuk dicekup

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI tujuh individu ditahan kerana memandu dibawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol dijalankan di beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, semua individu berusia 28 hingga 51 tahun itu gagal ujian saringan pernafasan dilakukan polis ketika pemeriksaan dijalankan.

"Operasi bermula pada 11 malam dan berakhir jam 3 pagi. Seramai 375 pengguna jalan raya membabitkan 360 kenderaan diperiksa.

"Polis juga turut mengeluarkan 22 saman atas pelbagai kesalahan trafik dilakukan pengguna jalan raya,"katanya ketika dihubungi hari ini.

Nik Ezanee berkata, sejak Op Alkohol dijalankan bermula pada 27 Mei lalu, seramai 23 individu sudah ditahan kerana melakukan kesalahan berkenaan.

"Berdasarkan statistik dalam tempoh satu minggu operasi dijalankan didapati berlaku penurunun berhubung kesalahan berkenaan.

"Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 45(A)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 1:24pm
d