mutakhir

10 tahun guna air tercemar

Oleh Safuri Kamarudin.

LEBIH 750 keluarga di sembilan kampung dalam Mukim Kupang, Baling berhadapan dengan masalah pencemaran air untuk kegunaan harian sejak 10 tahun lalu.

Antara kampung yang terbabit dengan pencemaran itu adalah Kampung Iboi, Masjid Iboi , Padang Empang, Kubang Katak, Bukit Kawi, Iboi Sekolah, Lata Celak, Bok Bak dan Bukit Iboi.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat (BAM) Kampung Iboi, Malik Arshad, 50, berkata penduduk bergantung dengan bekalan air itu untuk kegunaan harian seperti minum, memasak dan mencuci pakaian.

Menurutnya, air daripada takungan yang dibina penduduk tercemar teruk dipercayai berpunca daripada projek tanaman Musang King dan pengambilan kayu balak di Kompartment 8, Hutan Simpan Gunung Inas.

"Setiap kali hujan air tercemar teruk dan keruh serta berselut menyebabkan penduduk terputus bekalan air bersih. Malah berlaku banjir kilat sehingga melanda rumah penduduk dengan air lumpur dan kotor.

"Kami tidak menolak projek kerajaan tetapi kami juga memerlukan air yang bersih untuk hidup dan tidak tercemar. Carilah kaedah yang terbaik untuk penduduk di sini," katanya ketika ditemui ketika lawatan Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah untuk meninjau takungan air di kawasan hutan berkenaan, semalam.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Abd Nasir Idris dan ADUN Kuala Ketil Mejar (B) Mansor Zakaria.

Sementara itu Malik berkata, hampir 90 peratus penduduk menggunakan bekalan air masyarakat dan membayar RM3 setiap bulan bagi menyelenggara dan membersih takungan.

"Takungan yang dibina perlu dibersihkan kerana air cetek dan berpasir selain keruh apabila hujan kerana kerja-kerja pengambilan kayu balak di hutan simpan berkenaan," katanya.

Sementara itu, Mohd Shahadan berkata, pihaknya meminta Jabatan Perhutanan Kedah dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mencari alternatif dan kaedah terbaik untuk menangani masalah yang dialami penduduk.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 2:14pm
d