mutakhir

Tempahan 1,000 hotel dalam masa sejam tak masuk akal

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

BERITA mengenai sektor perhotelan di Langkawi menerima 1,000 tempahan dalam masa sejam daripada pelancong domestik dianggap tidak relevan.

Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel berkata, walaupun kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun tempahan 1,000 dalam tempoh sejam itu masih tidak boleh diterima akal.

"Jika 1,000 tempahan yang diterima itu dalam tempoh setahun, barulah ia lebih relevan kerana pengumuman PKPP itu bukan seperti jualan murah yang ditunggu-tunggu orang ramai.

"Saya tidak tahu daripada mana sumber berita itu, namun saya sendiri sudah menghubungi ahli MyBHA di Langkawi untuk bertanya sendiri mengenai perkara ini.

"Mereka masih tidak dapat memberi sebarang komen mengenai apa yang dilaporkan semalam kerana ada yang masih belum menerima tempahan daripada pelancong," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan semalam yang menyatakan sektor perhotelan di Langkawi menerima 1,000 tempahan dalam tempoh sejam daripada pelancong domestik sebaik saja aktiviti untuk merentas negeri dan melancong dibenarkan kerajaan bermula 10 Jun 2020.

Menurutnya, berita tidak sahih itu juga boleh mencetuskan rasa tidak puas hati pekerja hotel di Langkawi.

"Disebabkan berita ini, pekerja-pekerja hotel ingat majikan menipu mereka kerana ada di kalangan pekerja memang terpaksa bercuti tanpa gaji dan menyebabkan orang akan berfikir industri perhotelan tidak terkesan sebab PKP.

"Kita sedia maklum bahawa semua sektor perhotelan memang terjejas teruk bukan sahaja sejak pelaksanaan PKP, malah sejak penularan pandemik Covid-19 lagi.

"Memang ada hotel yang menerima tempahan tetapi tidaklah sampai 1,000 tempahan dalam tempoh pendek dan ini adalah mustahil," katanya.

Dalam pada itu, katanya, MyBHA menasihati orang ramai yang ingin bercuti untuk memilih hotel atau resort yang mendaftar dengan kementerian pelancongan dan yang mengikuti prosedur operasi standard (SOP).

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 2:48pm
d