mutakhir

Rumah Atok Lazim tak gelap lagi

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

KISAH pasangan warga emas Mohd Lazim Ismail, 74 atau Atok Lazim yang hidup dalam hutan lebih 45 tahun penuh kedaifan bersama isterinya, Fatimah Rani, 64, terus menjadi perhatian orang ramai.

Terbaru, pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Generasi Sejahtera Malaysia (I-Sejahtera) tampil membantu pasangan itu menyediakan keperluan asas sumbangan pelbagai pihak bagi meringankan beban mereka.

Naib Pengerusi I-Sejahtera, Mohd Nazirullah Nordin berkata, mereka berkunjung ke rumah Atok Lazim di Estet Goh Tong, Sungai Remuk di Jalan Genting Highlands, Batang Kali, semalam.

Beliau berkata, pasukan mereka membabitkan lima anggota turut diwakili Pertubuhan Asnaf Al Fateh, Briged Sufi Malaysia dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kuala Lumpur berganding bahu membantu keluarga itu.

"Kami berusaha membantu keperluan asas bagi keluarga ini. Alhamdulillah, kami mampu memasang set solar (cahaya matahari) disumbangkan Syarikat Sun Crox Solar bagi memastikan atuk dan nenek ini menikmati bekalan elektrik sempurna.

"Kami beberapa kali turun padang ke sini memasang dan menguji sistem pendawaian dipasang. Kini dengan bekalan kuasa solar itu, keluarga ini kelihatan ceria dan tidak bergelap lagi," katanya.

Beliau berkata, mereka turut membantu membaik pulih rumah usang dan uzur itu dengan memasang atap zink dan menukar dinding dengan papan.

Katanya, keperluan lain turut disumbangkan adalah bantal, tilam, barangan makanan asas, tikar, penyapu, dapur gas, rak pakaian, pakaian, baldi dan beberapa lampu dan panel solar khas.

"Melihat keadaan keadaan rumah usang dan kehidupan tidak selesa keluarga ini benar-benarkan menginsafkan kami agar sentiasa bersyukur atas nikmat Allah.

"Kami cuba mendapatkan sumbangan barangan lain yang diterima pelbagai pihak untuk diberikan kepada keluarga warga emas ini.

"Selain itu, kami akan membantu mereka menjejaki anak perempuan yang berhijrah ke Lombok, Indonesia kerana berkahwin dengan warga Indonesia beberapa tahun lalu," katanya.

Mohd Nazirullah berkata, keluarga itu mendapat bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat berjumlah RM300 sebulan untuk membeli keperluan asas.

Katanya, sejak berita keluarga itu tular di media, ramai pemimpin tempatan, badan bukan kerajaan dan penduduk Hulu Selangor tampil menghulurkan bantuan dari semasa ke semasa.

Orang ramai yang berhasrat membantu pasangan ini boleh berbuat demikian melalui Tabung Media Prima NSTP Humanitarian Fund (Metro Prihatin) menerusi akaun Affin Islamic Bank bernombor 105280004378atau Maybank di nombor 514271655386.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 2:53pm
d