mutakhir

Itulah yang terbaik - Ismail Sabri

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim

"KALAULAH beratur merupakan satu normal baharu, saya rasa itulah yang terbaik.

"Perkara yang tidak pernah kita lihat sebelum ini, kalau biasanya berebut-rebut nak naik bas dan kereta api. Sekarang ini penjarakan sosial, beratur dan berdiri jauh antara satu sama lain.

"Kalau ini boleh dijadikan normal baharu kita, saya percaya rantaian Covid-19 dapat diputuskan dan negara bebas daripada wabak itu," kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri berkata, amalan beratur sebelum memasuki pasar raya atau premis perniagaan perlu diteruskan bagi memastikan tidak berlaku jangkitan Covid-19.

Katanya, garis panduan yang mengehadkan jumlah pengunjung memasuki pasar raya dalam satu masa adalah bagi memastikan penjarakan sosial diamalkan di dalam premis.

"Penjarakan sosial adalah asas penting, maka perkara sama juga perlu dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Tambah beliau, ini berikutan virus berkenaan tidak boleh dilihat yang memungkinkan ada individu dijangkiti dan pembawa virus.

Oleh itu, beliau berharap rakyat menjadikan amalan penjarakan sosial sebagai normal baharu dalam kehidupan masing-masing.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 3:41pm
d