mutakhir

Termenung sebelum dijemput ajal

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

TERMENUNG ketika duduk di meja makan menjadi petanda akhir sebelum kematian seorang petani, Mohd Azman Bukhari selepas terbabit kemalangan di Jalan Parit 9, Sungai Panjang, Sungai Besar, Sabtu lalu.

Dalam kejadian 11 pagi itu, motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang Mohd Azman, 56, melanggar belakang motosikal Yamaha Lagenda ditunggangi bapa dan anak perempuan berusia 40 dan enam tahun.

Mangsa yang parah di kepala disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua lagi mangsa cedera ringan dan dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam untuk mendapatkan rawatan.

Isteri Allahyarham, Rusilah Ramli, 54, berkata, arwah tidak banyak bersembang sebaliknya termenung dan mendiamkan diri seperti seolah-olah tahu ajal akan menjemputnya.

Menurutnya, bapa kepada empat anak berusia 20 hingga 31 tahun itu sempat meluangkan masa bersama keluarga sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

"Beberapa jam sebelum kejadian, arwah keluar membeli sarapan nasi lemak dan kuih. Dia pesan pada saya 'ini kuih banyak, makan ya nanti'.

"Kemudian, arwah keluar sekali lagi dan cakap nak bertemu kawan baiknya di Parit 5 atas urusan kerja. Tidak lama selepas itu, saya mendapat berita daripada rakan anak memaklumkan arwah terbabit dalam kemalangan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Parit 11 Gambut, Sungai Panjang, hari ini.

Rusilah berkata, dia dan dua anaknya pergi ke lokasi kejadian dan mendapati mayat Allahyarham terbaring di atas jalan ditutupi kain.

"Waktu lihat arwah, saya hilang kata-kata sehingga dunia terasa gelap seketika dan seluruh badan menggeletar tidak henti.

"Hati saya amat hiba dan sedih dengan kejadian ini terutama mengingati kenangan bersama arwah. Namun, saya tetap reda dengan pemergiannya yang tidak akan kembali lagi," katanya.

Menurutnya, Allahyarham sempat meraikan hari jadi menantunya, Muhammad Hanafi Marzuki, 29, empat hari sebelum kejadian.

Katanya, ketika itu arwah dilihat sangat teruja dan dia menempah piza dan sate untuk sambutan hari lahir itu selain membelikan baju-T sebagai hadiah buat menantu.

"Malah, arwah turut bergambar bersama kami dan reaksi mukanya sangat gembira. Tak sangka itu kenangan terakhir untuk arwah sebelum dia pergi buat selama-selamanya.

"Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bagan Terap, semalam," katanya.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 3:53pm
d