mutakhir

Pantai peranginan kembali jadi tumpuan

Oleh Hassan Omar

BAGAIKAN burung terlepas daripada sangkar, orang ramai mula membanjiri pantai peranginan popular Pengkalan Balak dan Padang Kemunting, Masjid Tanah, Alor Gajah, sempena cuti umum, hari ini.

Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam, bukan setakat disifatkan sebagai kelonggaran, malah kebebasan amat dinantikan masyarakat yang terkesan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac lalu.

Selepas hampir tiga bulan berkurung dalam kediaman masing-masing, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat Rabu ini seolah-olah 'membebaskan' anggota masyarakat untuk mengunjungi pantai itu.

Tinjauan mendapati orang ramai mengambil kesempatan sempena cuti umum sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk bersantai bersama keluarga.

Selain mandi manda, pengunjung menikmati makanan dan minuman di warung sepanjang pantai berkenaan yang sebelum ini sepi tanpa pengunjung.

Kehadiran pengunjung itu jelas memberikan kelegaan kepada pengusaha chalet yang mengalami kerugian akibat jumlah tetamu merudum sepanjang PKP dilaksanakan.

Nor Afandi Abu Bakar, 54, berkata musim cuti persekolahan Mac lalu dan cuti Aidilfitri kali ini ternyata amat pilu bagi pengusaha chalet dan inap desa di pantai Melaka Barat dari Tanjung Bidara hingga Kuala Linggi, berikutan ketiadaan tetamu akibat wabak berkenaan.

Katanya, jika pada cuti Aidilfitri tahun lalu dan tahun sebelumnya, tempat penginapan kami dipenuhi tetamu dari pelbagai tempat terutama Kuala Lumpur, kali ini tiada sesiapa pun yang mahu mendaftar masuk.

"Ini menyebabkan 17 chalet milik ibu Tijah Mydin, 76, dan kakak, Noraini, 56, di pantai Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak sepi tanpa tetamu berbanding Aidilfitri tahun lalu dan sebelumnya.

"Setiap kali Aidilfitri sebelum ini, semua bilik habis ditempah tetamu dari pelbagai tempat seperti Kuala Lumpur, Pahang, Johor dan seumpamanya kerana apabila mereka berkunjung ke rumah saudara-mara di Masjid Tanah atau Alor Gajah, mereka mengambil peluang bermalam di chalet pantai ini.

"Lazimnya, mereka menginap dari hari raya kedua hingga hari raya ketujuh sempena cuti Aidilfitri tetapi kali ini, keadaannya sangat jauh berbeza dan sudah pastilah kami amat merindui keadaan penginapan sebelum ini," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kelonggaran diberikan sepanjang PKPP bakal mendorong pantai berkenaan dipenuhi pengunjung semula, sekali gus memberi nyawa kepada perniagaan chaletnya.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 4:43pm
d