mutakhir

Muzium akan dibuka dalam tempoh terdekat

Oleh Mohd Amin Jalil

MUZIUM di Negeri Sembilan dijangka dapat menerima semula kehadiran pengunjung dalam tempoh seminggu lagi atau sebelum akhir bulan ini.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS), Drs Shamsuddin Ahmad berkata, sebelum ini semua lima muzium di bawah kelolaan LMNS ditutup sejak 18 Mac lalu susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani wabak Covid-19.

Beliau berkata, pengumuman kerajaan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun ini akan membolehkan aktiviti muzium dapat diteruskan semula dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Susulan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, LMNS akan menyediakan satu SOP khas untuk dimajukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Ab Malek bagi kelulusan sebelum membuka semula muzium untuk kunjungan orang ramai.

"Saya jangkakan muzium di negeri ini dapat dibuka semula berpandukan SOP ditetapkan dalam tempoh terdekat atau sebelum akhir bulan ini," katanya di Seremban, hari ini.

Lima muzium di bawah kelolaan lembaga itu adalah Muzium Negeri di Seremban, Muzium Diraja Istana Lama Seri Menanti di Kuala Pilah, Muzium Rembau, Teratak Za'ba di Batu Kikir Jempol dan Kompleks Muzium Megalitik Pengkalan Kempas di Port Dickson.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 5:24pm
d