mutakhir

Remaja maut, rakan parah nahas 4 kenderaan

Oleh Nur Izzati Mohamad

PEMBONCENG maut, manakala penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Badak Mati, di Nibong Tebal, hari ini.

Kemalangan pada 11.30 pagi itu membabitkan masing-masing dua motosikal dan kereta.

Superintendan Lee Chong Chern berkata, kemalangan menyebabkan pembonceng mangsa, Tho Kah Seng, 17, maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala, sementara rakannya, Poh Chi Xian juga berusia 17 tahun, parah.

Katanya, seorang lagi penunggang motosikal Yeap Dong Lin, 16, cedera ringan.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas motosikal ditunggang Poh dan Yeap melanggar bahagian sisi kanan kereta Axia dipandu seorang wanita yang memandu keluar dari simpang jalan.

"Pelanggaran itu menyebabkan ketiga-tiga mereka terpelanting dan jatuh ke atas jalan, akibatnya Tho maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi cedera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee berkata, kemalangan turut menyebabkan kereta Axia melanggar bahagian belakang kereta Toyota Vios yang berada di kawasan parkir sebuah kedai bunga.

Lee berkata, mayat dibawa ke Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk bedah siasat.

"Rakannya serta seorang lagi penunggang motosikal dibawa ke hospital sama untuk rawatan.

"Polis kini sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan untuk semakan dan mengesan saksi kemalangan untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 7:11pm
d