mutakhir

Polis sudah kenal pasti identiti pemandu

Oleh Zuliaty Zulkiffli

POLIS mengesahkan mayat lelaki yang ditemui dalam kereta Proton Saga FLX dalam Sungai Lana Bulu, Megat Dewa di Jitra, semalam dikenal pasti sebagai Mohd Shukral Hilmi Mohd Fauzi, 37.

Mohd Shukral Hilmi adalah anggota tentera yang menetap di Kuarters Angkatan Tentera, Kem Tok Jalai, Jitra.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, identiti satu lagi mayat wanita yang menaiki kenderaan bersama mangsa masih belum dikenal pasti.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih menunggu laporan makmal untuk mengetahui punca kematian mangsa.

"Mangsa adalah pemilik kereta Proton Saga FLX bernombor pendaftaran KEB 7274 yang ditemui dalam sungai berkenaan.

"Bagaimanapun, kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung punca kejadian berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian semalam, dua mayat ditemui dalam sebuah kereta di Sungai Lana Bulu, Megat Dewa oleh orang awam sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar dari kereta yang terjunam ke dalam sungai itu dalam operasi hampir empat jam bermula 10 malam dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk dibedah siasat.

Difahamkan, jenazah Mohd Shukral Hilmi yang sudah beristeri dan mempunyai dua anak itu dituntut keluarganya dan selamat dikebumikan di kampung halamannya di Langgar, hari ini.

Berita berkaitan:

  • Tunggu laporan bedah siasat 2 mayat
  • Identiti mangsa belum dikenal pasti
  • Dua maut kereta terjunam dalam sungai
  • Disiarkan pada: June 8, 2020 @ 9:34pm
    d