mutakhir

Penghantar barang derita usus bocor bimbang hilang kerja

Oleh Nor Farhani Che Ad

PENGHANTAR barang yang menderita penyakit usus bocor dan apendiks bimbang hilang pekerjaan selepas mengambil cuti bagi mengubati penyakitnya.

Mohamad Rizuan Mohd Rozali, 35, berkata, dia menderita penyakit itu sejak pertengahan Mei lalu dan tidak bekerja kerana kesihatan yang masih belum pulih selepas pembedahan, baru-baru ini.

Pemuda itu kini menanggung kos rawatan kira-kira RM50 sehari dan perlu menyara bapa, Mohd Rozali Saad, 66, yang ada masalah penglihatan kabur selain pendengaran.

"Ketika ini saya masih menerima gaji daripada majikan kira-kira RM1,100 dan wang itu banyak dihabiskan untuk rawatan sahaja.

"Namun, saya tidak tahu nasib saya dan ayah selepas ini kerana dimaklumkan bermula awal Julai, berkemungkinan saya diberhentikan kerja atau diberi cuti tanpa gaji," katanya ditemui di rumahnya di Taman Lembah Bujang, Bedong, Sungai Petani.

Bercerita mengenai penyakitnya, Mohamad Rizuan berkata, doktor mengesahkan dia mengalami usus bocor dan masalah hernia ketika pembedahan apendiks.

Katanya, bahagian bermasalah itu dirawat segera dan kini dia mempunyai luka besar di perut yang mengambil masa untuk pulih.

"Setiap kali saya bergerak, saya rasa sakit seperti usus nak terkeluar. Sebab itu saya tak boleh banyak bergerak dan harapkan bantuan ahli keluarga.

"Sukar untuk saya bekerja jika kesihatan tak pulih sepenuhnya," katanya.

Orang ramai yang mahu membantu boleh menghubunginya di talian 017-5271544.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 8:58am
d