mutakhir

Asap, bau busuk tapak pelupusan sampah

Oleh Nor Farhani Che Ad

ASAP dan bau busuk di sekitar Sungai Petani sejak beberapa hari lalu dipercayai berpunca daripada tapak pelupusan sampah yang pernah disita Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah Dr Robert Ling Kui Ee, berkata, tapak itu terletak di Kawasan Industri Ringan Sungai Tukang pernah disita pada April lalu, namun dipercayai diceroboh lagi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

"Banyak aduan yang saya terima berkenaan bau seperti plastik dibakar di sekitar Sungai Petani sejak beberapa hari lalu dan semalam, kita terima aduan mengatakan ada lori keluar masuk, dipercayai membawa sisa buangan ke tapak pelupusan berkenaan," katanya ketika ditemui hari ini.

Dr Robert melakukan tinjauan di kawasan itu, mendapati terdapat aktiviti pembakaran dan angin membawa bersama kepulan asap dan bau busuk ke bandar.

"Bagaimanapun, kita buat siasatan lanjut sekiranya terdapat punca lain yang menyebabkan bau busuk dan asap ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah SWCorp Kedah, Zaidi Tuah ketika dihubungi berkata, pihaknya sudah mengambil tindakan dengan menyita sebuah lori dan jentera pengaut di tapak pelupusan milik persendirian itu semalam.

Katanya, pihaknya juga menutup kawasan berkenaan bagi mengelakkan kejadian berulang dengan tindakan diambil mengikut Seksyen 71 Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672).

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa kawasan perumahan di sekitar bandar itu didakwa diselubungi asap dan bau busuk menjelang tengah malam sehingga awal pagi.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 10:30am
d