mutakhir

Wanita Myanmar dalang sindiket dadah antara lima ditahan

Oleh Audrey Dermawan

POLIS menumpaskan dua sindiket pengedaran yang di dalang warga Myanmar dan tempatan dengan penahanan lima individu termasuk seorang wanita dalam dua operasi berasingan di Georgetown, baru-baru ini.

Turut dirampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.3 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, dalam operasi pertama bermula jam 6.45 petang, 5 Jun sehingga 8 pagi 6 Jun lalu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah melancarkan tiga serbuan di kawasan Bukit Tengah, Seberang Perai Tengah dan Bayan Baru.

"Hasil serbuan itu, polis menangkap tiga lelaki berusia antara 24 hingga 40 tahun dan seorang wanita Myanmar berusia 45 tahun yang juga dalang utama sindiket itu.

"Dalam serbuan itu, polis merampas 2,980 gram heroin; 8,493 gram syabu dan 14,000 pil WY dianggarkan bernilai RM810,000," katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, dalam operasi kedua, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun dalam dua serbuan di kawasan Bukit Tengah, Seberang Perai.

Katanya, hasil serbuan, polis merampas 4,533 gram serbuk minuman yang mengandungi dadah jenis MDMA, 20 pil ekstasi dan 90 pil eramin 5 bernilai RM465,500.

"Kedua-dua kes tidak berkaitan, tetapi bekalan dadah untuk pasaran tempatan.

"Kelima-lima mereka direman sehingga 13 Jun untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Menurutnya, kesemua dadah yang dirampas boleh diguna sehingga 129,5000 penagih dadah.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 2:29pm
d