mutakhir

Pentadbir sekolah perlu diberi kuasa autonomi - KGMMB

Oleh Hamzah Osman

KESATUAN Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) mahu pentadbir sekolah diberi kuasa autonomi untuk merancang persiapan pengurusan pembukaan semula sekolah.

Presidennya, Jasni Md Kechik berkata, pendekatan itu diyakini membolehkan pihak sekolah membuat persediaan sewajarnya bagi menerima semula kehadiran pelajar dengan mengadaptasi kehidupan normal baharu.

"Dalam hal ini, Pengetua dan Guru Besar perlu berbincang dengan guru terlebih dahulu sebelum membuat keputusan bagi mengelak mereka merasa terbeban.

"Antaranya, penyediaan pelan lantai pergerakan warga sekolah, waktu kehadiran pelajar, pengubahsuaian Rekod Pengajaran Tahunan dan jadual mengajar guru," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sesi penataran Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah (GPPPSS) kepada pegawai di JPN dan PPD seluruh negara menerusi aplikasi Google Meet, hari ini.

Jasni berkata, perkara yang diputuskan pihak sekolah perlu dibentangkan kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) supaya ia benar-benar mematuhi GPPPSS yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan.

"Bimbingan PPD dan JPN amat perlu sebelum pihak sekolah mula melaksanakan gerak kerja bagi mengelak terpaksa melakukannya dua kali, sekali gus mendatangkan beban kerja.

"KGMMB juga yakin guru seluruh negara dapat menyesuaikan diri dan melaksanakan tugas masing-masing secara optimum mengikut GPPPSS yang julung kali diperkenalkan di negara ini," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 3:37pm
d