mutakhir

Ibu bapa tak perlu bimbang - NUTP

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) meminta ibu bapa tidak bimbang untuk membenarkan anak-anak kembali ke sekolah tidak lama lagi.

Presidennya, Aminuddin Awang berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa aspek keselamatan, kesihatan dan penjarakan sosial akan dilaksanakan dengan cara berkesan bagi mengatasi wabak Covid-19.

Katanya, berdasarkan tinjauan pihaknya mendapati pengurusan sekolah bersungguh-sungguh dalam persediaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) secara asas.

Malah, kita menerima maklumat kebanyakan sekolah sudah memulakan persiapan SOP khususnya bagaimana untuk uruskan aspek penjarakan sosial.

Ibu bapa jangan bimbang kerana yang penting semua pihak sekarang akan memastikan semua garis panduan SOP yang diberi kerajaan akan dipatuhi," katanya kepada Harian Metro ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, memandangkan sekolah akan dibuka untuk tingkatan lima dan enam terlebih dahulu, maka dari segi penjarakan sosial pihaknya yakin tidak akan timbul masalah besar.

Aminuddin berkata, namun kerjasama semua guru amat penting termasuk guru yang tidak mengajar pelajar tingkatan lima dan enam terutama ketika pelajar hendak masuk kelas, yang mana guru perlu memeriksa suhu badan dan memastikan pergerakan pelajar waktu pulang mengikuti SOP ditetapkan.

Beliau berkata, garis panduan SOP yang akan dikeluarkan kerajaan kelak menjadi panduan khusus kepada semua peringkat sekolah.

Semua sekolah akan berpandukan kepada apa yang dikeluarkan pihak kementerian apabila mengumumkan tarikh sekolah dibuka semula.

Justeru, semua sekolah (menengah) sedang memulakan usaha ke arah pelaksanaan SOP ini kerana apabila sudah ada tarikh ditetapkan, maka pergerakan persiapan lebih senang dibuat.

Namun, sekolah akan diberi tempoh masa dua minggu lebih awal dari tarikh sekolah bermula untuk membuat persediaan menyeluruh," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 4:17pm
d