mutakhir

Kes denggi di Pulau Pinang turun

Oleh Nur Izzati Mohamad

KES demam denggi di Pulau Pinang menunjukkan penurunan dengan jumlah kumulatif 387 kes dari Januari hingga bulan ini berbanding 2,808 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Ia merekodkan penurunan sebanyak 2,421 kes iaitu 86.21 peratus.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Dr Asmayani Khalib berkata, hanya satu kematian dilaporkan sehingga minggu ke-23 tahun ini berbanding lapan kes bagi tempoh sama tahun lalu.

"Situasi denggi di negeri ini masih terkawal bahkan menunjukkan penurunan kes dan kematian amat besar.

"Bagaimanapun, JKNPP menyeru orang ramai supaya terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan nyamuk Aedes," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, pada minggu ke-23 iaitu bermula 31 Mei hingga 6 Jun lalu, sebanyak 18 kes denggi dilaporkan berbanding 20 kes pada minggu ke-22 dengan penurunan sebanyak 10 peratus.

Terdapat enam lokaliti wabak terkawal iaitu di Taman Air Itam, Desa Baiduri, Desa Mawar, Flat Padang Tembak, dan Lorong Sempadan dari daerah Timur Laut, dan lokaliti Taman Dahlia dari daerah Seberang Perai Utara.

Sementara itu, sebanyak 157 kes Chikungunya dilaporkan sehingga 6 Jun lalu di 10 lokaliti wabak terkawal.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi gelombang kedua bermula awal Jun hingga September ini susulan tren peningkatan secara berterusan yang direkodkan sejak enam minggu lalu.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 5:04pm
d