mutakhir

Warung Dimyati Roti Canai Pelangi ikut SOP

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

"SAYA nafikan video pelanggan yang datang ke warung roti canai saya tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," kata Dimyati Tualo, 59, pemilik Warung Dimyati Roti Canai Pelangi di Kampung Sungai Yu 1 di sini, hari ini.

Terdahulu, tular di Facebook video anggota polis kononnya menyerbu premis Dimyati yang didakwa tidak mematuhi SOP pada 7 Jun lalu.

Difahamkan, dalam video itu, pelanggan yang datang terdiri daripada kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang juga pengunjung luar daerah ini.

Menurut Dimyati, dia kesal dengan tindakan pihak yang menyebarkan video terbabit tanpa usul periksa.

"Malah, video itu juga tular di laman sosial dan dikongsi tanpa henti oleh orang ramai," katanya.

Menurutnya, dia sekeluarga terkilan apabila ada pihak membuat tuduhan tidak berasas itu tanpa menyelidik perkara sebenar.

"Pada hari kejadian, 160 pelanggan terdiri daripada penunggang motosikal berkuasa tinggi datang ke warung saya untuk bersarapan kerana mereka ada program di Kuala Selangor.

"Kebetulan, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berjalan, jadi pelanggan yang boleh duduk di dalam premis dihadkan kepada 60 sahaja.

"Sebagai pemilik, menjadi tanggungjawab saya memastikan setiap pelanggan mematuhi SOP di dalam premis. Jika di luar premis, ia bukan bidang kuasa saya," katanya kepada Harian Metro.

Dimyati yang mengusahakan perniagaan roti canai sejak lima tahun lalu berkata, kumpulan berkenaan juga menunggu giliran untuk makan di dalam warung dan bukan berkumpul beramai-ramai seperti didakwa dalam video itu.

"Pihak yang merakam video itu mungkin tidak tahu suasana di dalam warung. Dia hanya nampak orang berkumpul beramai-ramai di luar dan terus membuat tuduhan.

"Jadi, kepada masyarakat di luar sana yang tak tahu apa apa, jangan cerita yang bukan bukan dan jangan buat 'dosa kering' yang akhirnya akan memakan diri sendiri," katanya yang memulakan semula operasi sejak 30 Mei lalu.

Menurut Dimyati, dia dan anaknya, Fariz Aizan, 32, berharap individu yang menyebar dan menyimpan video itu menarik keluar serta memadamkannya segera.

"Kalau nak buat aduan, biarlah aduan yang baik. Kalau tak tahu, cakap tak tahu.

"Insya-Allah, warung ini sentiasa mengikut SOP sama seperti premis lain. Pelanggan tidak perlu bimbang kerana kami mematuhi arahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi mengesahkan tiada laporan berhubung kegagalan warung terbabit mematuhi SOP.

"Tindakan polis ke warung itu bagi membuat pemantauan terhadap pengusaha warung serta orang ramai supaya mengikut SOP ditetapkan," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 6:29pm
d