mutakhir

Covid-19 mampu dikawal tanpa vaksin

Oleh Saipul Adli Mohamad; Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam

WABAK Covid-19 mampu dikawal walaupun tanpa vaksin jika rakyat kekal patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan memiliki kawalan kendiri tinggi.

Melahirkan keyakinan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini terbukti selepas beberapa negara seperti New Zealand yang tidak mencatatkan sebarang kes penularan baru Covid-19.

Beliau berkata, Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) boleh dikawal jika masyarakat patuh walaupun tanpa vaksin.

"Jika kita dapat mengawal kes kepada satu digit dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini membuktikan kita mampu memutuskan rantaian Covid-19.

"Kita yakin untuk melakukannya (kekal satu digit kes) jika rakyat terus patuh kepada SOP disarankan kerajaan," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, penurunan kes akan membuka ruang kepada lebih banyak sektor ekonomi dan sosial untuk kembali beroperasi.

Beliau berkata, kawalan sempadan antarabangsa akan terus diperketatkan bagi mengelak kes jangkitan import berlaku.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, seramai 269 etnik Rohingya yang ditahan di Langkawi semalam akan menjalani saringan Covid-19.

"Mereka sudah menjalani saringan kesihatan dan keputusan lanjut mengenai kumpulan itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Khas Menteri, esok," katanya.

Harian Metro melaporkan seramai 269 itu terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan ditahan ketika mendarat di Pantai Telok Nibong, Langkawi, 4.20 pagi semalam.

Kumpulan itu dipercayai menaiki sebuah bot cuba masuk ke negara ini bagi mendapatkan perlindungan ekoran konflik kemanusiaan di Myanmar.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 6:34pm
    d