mutakhir

Corong udara khusus untuk pesakit asma [METROTV]

Oleh Redzuan Muharam

DUA pakar perubatan kecemasan dan pensyarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) berganding bahu menjalankan penyelidikan bagi mengkaji keberkesanan 'spacer' iaitu corong udara khusus untuk kegunaan pesakit asma.

Di samping berfungsi sebagai alternatif menggantikan topeng pengabut atau 'nebulizer', penghasilan alat pakai buang itu tidak memerlukan kos besar kerana boleh diperbuat daripada botol air dan cawan kertas.

Kaedah pembuatannya juga mudah iaitu dengan menebuk bahagian bawah botol air untuk dijadikan lubang saluran ubat dan menghasilkan penutup diperbuat daripada mesin mencetak 3 Dimensi (3D Printer) bagi penggunaan cawan kertas.

Pakar Perubatan Kecemasan dan Pensyarah HCTM, Dr Mohd Hisham Mohd Isa berkata, alat itu sesuai digunakan semua peringkat umur terutama warga emas yang mengalami kesukaran menggunakan .

Katanya, ia kini digunakan di jabatan kecemasan dan wad sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan keberkesanannya, alat itu digunakan sehingga kini bagi menggantikan topeng pengabut yang berisiko menyebarkan virus daripada pesakit kepada petugas kesihatan dan individu sekeliling.

"Penularan wabak Covid-19 menyebabkan amalan perubatan yang lazimnya dipraktikkan perlu diubahsuai bersesuaian dengan situasi semasa.

"Salah satunya adalah alat bantuan pernafasan untuk pesakit asma yang kini tidak lagi menggunakan topeng pengabut tetapi botol air.

" Ini alternatif bagi mengelak berlakunya prosedur penghasilan aerosol (AGP) ke udara yang boleh memberi kesan iaitu kemungkinan jangkitan petugas kesihatan," katanya ketika ditemui Harian Metro di Jabatan Kecemasan HCTM, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Dr Mohd Hisham, selain HCTM, alat corong udara kini digunakan secara meluas di hospital seluruh negara.

Malah, pihaknya turut mendapat bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan yang mengambil inisiatif menghasilkan dan menyumbang kepada pihak hospital.

"Inovasi ini mudah dan boleh dihasilkan dengan cepat dalam kuantiti yang banyak. Paling penting, ia dapat mengelak sebaran virus dan mencegah risiko jangkitan penyakit," katanya.

Sementara itu, Dr Shamsuriani Md Jamal berkata, alat sama pernah digunakan sebagai alternatif bantuan kecemasan sewaktu bencana banjir di Kelantan,

Bagaimanapun, penggunaannya tidak dipraktikkan sehingga tercetusnya wabak Covid-19 dan bermulanya PKP.

Namun, Dr Shamsuriani mengakui petugas kesihatan mengambil masa untuk meyakinkan pesakit mengenai keberkesanan alat itu di peringkat awal tetapi ia kini sudah diterima baik.

"Dalam tempoh PKP, petugas kesihatan tidak dapat menjalankan AGP seperti biasa dan lebih merumitkan keadaan apabila terhadnya bekalan topeng pengabut di pasaran.

"Bertitik tolak dari situ, timbulnya idea untuk mengetengahkn lagi penggunaan alat ini kerana lebih mudah dan boleh dihasilkan dalam kuantiti banyak dengan kos rendah.

"Berdasarkan maklum balas diterima, alat ini memang terbukti berkesan kerana tiada pertambahan pesakit selepas menggunakan alat itu atau menjadi lebih teruk. Diharap, masyarakat dapat menerimanya sesuai dengan normal baru,"katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 6:55pm
d