mutakhir

Kaji 'strain' virus Covid-19 di Malaysia

Oleh Saipul Adli Mohamad; Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Redzuan Muharam

PENURUNAN bilangan kes semasa Covid-19 membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada kajian genomik bagi menentukan 'strain' virus itu yang ada di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian itu bagaimanapun mengambil masa untuk dijalankan.

"Gelombang pertama Covid-19 merekodkan 22 kes dan kita terima gelombang kedua apabila rakyat pulang dari pelbagai negara.

"Kita masih melihatnya. Saya percaya negara kita ada ketiga-tiga strain, tetapi perlu menjalankan kajian untuk membuktikannya," katanya pada sidang media perkembangan harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, Malaysia dilaporkan berkemungkinan berdepan jangkitan tiga strain virus Covid-19 berikutan ada rakyat negara ini pulang dari luar negara termasuk dari Amerika Syarikat (AS) dan bukan hanya dari China.

Bagaimanapun, Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara itu hanya akan diketahui apabila kajian mendalam dilakukan terhadap virus terbabit.

Beliau berkata, dengan membuat penjujukan genom keseluruhan, barulah pihaknya boleh menentukan strain virus penyakit Covid-19 yang ada di negara ini.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:17pm
d