mutakhir

Polis Perlis terus kekang pencerobohan Pati, warga Rohingya

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

POLIS Perlis sudah bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku pencerobohan etnik Rohingya di perairan negeri itu.

Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, mengambil kira kejadian pendaratan Rohingya yang berlaku di Langkawi, Kedah sejak kelmarin, pihaknya kini mengambil langkah lebih berjaga-jaga bagi mengekang aktiviti berkenaan.

"Kita sudah buat persiapan dengan melaksanakan Op Benteng khususnya bagi mengekang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (Pati) ke negeri ini.

"Malah, sehingga hari ini risikan pihak keselamatan dilakukan secara berterusan dengan pelbagai aspek dan faktor keselamatan sudah diambil kira.

"Ia termasuk risikan terhadap tekong yang disyaki mengambil untuk dengan membawa masuk kumpulan Rohingya atau Pati ini masuk ke negara melalui Perlis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut mengenai persiapan pihaknya dalam mengekang sebarang aktiviti pencerobohan negara melalui Perlis, Surina berkata, pihaknya kini sudah memperkemaskan benteng keselamatan sempadan negara khususnya di Perlis.

"Ya, kita sudah bersiap siaga dan menerusi Op Benteng juga kita akan memastikan Pati tidak akan berjaya menceroboh negara disamping berusaha mengekang penularan Covid-19," katanya.

Hari ini, Harian Metro melaporkan seramai 269 etnik Rohingya dipercayai menempuh perjalanan selama hampir empat bulan dari kem pelarian di Myanmar mendarat di Langkawi, semalam.

Mereka terdiri daripada 80 lelaki, 138 perempuan, 26 kanak-kanak lelaki dan 23 kanak-kanak perempuan.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:20pm
d