mutakhir

Pejabat Peguam Negara perlu jelaskan penarikan balik kes Musa Aman

Oleh Yusmizal Dolah Aling

PEJABAT Peguam Negara perlu memberi penjelasan penuh dengan segera berhubung penarikan balik semua 46 kes terhadap bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama berkata, ia perlu kerana bakal mencerminkan wajah sebenar pentadbiran yang ada hari ini.

Katanya, keputusan Pejabat Peguam Negara itu amat membingungkan malah mengecewakan memandangkan semua pertuduhan membabitkan dakwaan penyelewengan atau pengubahan wang haram bernilai ratusan juta ringgit.

"Ini bukan jumlah pertuduhan yang kecil dan juga tidak membabitkan jumlah wang yang kecil," katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Datuk Dr Hatta Ramli (Amanah) dan Anthony Loke Siew Fook (DAP).

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Musa daripada 46 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram kontrak konsesi balak di Sabah.

Ia berikutan pihak pendakwaan menarik balik 16 pertuduhan pengubahan wang haram dan 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak itu.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:23pm
d