mutakhir

Funikular Bukit Bendera beroperasi esok

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PERKHIDMATAN funikular Bukit Bendera, di Georgetown, akan dibuka semula kepada pengunjung bermula esok selepas operasinya ditutup sementara sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dalam kenyataan berkata, perkhidmatan dari stesen bawah akan beroperasi seperti biasa bermula 6.30 pagi, manakala perkhidmatan terakhir dari stesen atas bukit peranginan itu adalah pada 11 malam.

Bagaimanapun, katanya, terdapat garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi semasa berkunjung ke Bukit Bendera.

"Pelitup muka tidak disediakan tetapi pengunjung diwajibkan memakainya, mendaftar masuk menerusi PGCare, menjalani pemeriksaan suhu badan dan menggunakan persanitasi tangan.

"Orang awam juga perlu mematuhi penjarakan sosial satu meter serta arahan petugas PBBPP, " katanya.

Hari ini, kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi Ketua Menteri Chow Kon Yeow mengumumkan sedia melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahad lalu.

Namun, pembukaan sektor ekonomi serta beberapa sektor lain masih dilakukan secara berperingkat dalam mengekang penularan wabak Covid-19 yang akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Sementara itu, PBBPP turut memutuskan astaka atau gerai makanan di puncak bukit peranginan itu akan dibuka semula pada 15 Jun ini.

"PBBPP mengalu-alukan kedatangan semula pengunjung ke lokasi pelancongan ikonik ini dan mengucapkan terima kasih atas kerjasama yang diberikan dengan mematuhi SOP normal baharu bagi mencegah penularan Covid-19," katanya lagi.

Maklumat lanjut mengenai Bukit Bendera boleh diikuti di laman Facebook rasmi PBBPP https://www.facebook.com/mypenanghill

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 7:40pm
d