mutakhir

Tiga borang pencalonan PRK Chini dibeli

Oleh Asrol Awang

SURUHANJAYA PilihanRaya (SPR) Pahang mengesahkan tiga borang pencalonan dibeli menjelang hari penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 20 Jun ini.

Pengarah SPR Pahang Datuk Zamree Hamli, berkata tiga borang penamaan calon itu dibeli oleh wakil Barisan Nasional (BN) di pejabat SPR Pahang di sini.

"Kami sudah mula menjual borang penamaan calon sejak 15 Mei lalu. Hari ini, tiga borang dibeli oleh wakil BN.

"Calon yang ingin bertanding boleh membelinya di pejabat SPR Pahang di Wisma Persekutuan, di sini dan Pejabat Daerah dan Tanah Pekan, Pekan," katanya di sini, hari ini.

SPR sebelum ini mengumumkan PRK DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai ini, manakala hari penamaan calon pada 20 Jun dan pengundian awal pada 30 Jun dengan kos keseluruhan PRK itu dianggarkan berjumlah RM4.3 juta.

SPR turut mencadangkan beberapa prosedur operasi standard (SOP) kepada Kementerian Kesihatan (KKM) antaranya mengehadkan 400 orang bagi setiap saluran berbanding 600 orang sebelum ini manakala perjalanan kempen pilihan raya pula tertakluk kepada perintah semasa kerajaan.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei lalu.

Ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018, Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Bagaimanapun, tumpuan kini kepada calon bebas yang dikatakan ingin bertanding ketika Pakatan Harapan (PH) iaitu PKR tidak meletakkan calon dalam PRK DUN Chini berikutan kerisauan terhadap aspek keselamatan pengundi berikutan penularan wabak Covid-19.

Pada masa sama, BN Pahang meminta semua parti politik dan calon bebas beri laluan kepada calon BN menang tanpa bertanding pada PRK Chini.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 8:40pm
d