mutakhir

Dua rumah, skuter musnah terbakar

Oleh Zuliaty Zulkiffli

DUA rumah dan sebuah skuter Modenas Elite musnah dalam kebakaran di Jalan Kuala Kedah, Alor Setar, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima kecemasan pada jam 6.28 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja yang diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Faizul Hang Tuah dikejar ke lokasi kejadian.

"Operasi turut dibantu anggota BBP Alor Setar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS)

"Sebaik tiba, didapati api sedang marak membabitkan dua rumah kelas A satu tingkat (rumah pertama) yang terbakar 95 peratus manakala rumah kedua pula hampir musnah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, api berjaya dikawal pada 6.55 petang.

Bagaimanapun katanya, ketika kejadian tiada mangsa di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah motosikal skuter Modenas Elite yang diletakkan di dalam stor sebuah rumah berkenaan turut terbakar.

"Setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 9:33pm
d