mutakhir

Salon 80 tahun beroperasi semula esok

Oleh BERNAMA

SALON berusia 80 tahun di Jelutong, Georgetown bersedia beroperasi semula apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan mulai esok.

Tinjauan Bernama ke Ever Green Hairdressing Salon hari ini mendapati pemiliknya, V Segar, 58, dan kakitangannya memakai ponco plastik, pelitup muka, topeng dan perisai muka ketika menyahkuman peralatan dan tempat duduk di salon itu.

Penanda turut diletakkan di luar premis untuk menunjukkan kedudukan pelanggan untuk berbaris sambil menjaga penjarakan sosial.

"Esok akan menjadi hari sibuk. Kami menerima beberapa panggilan daripada pelanggan untuk membuat janji temu menggunting rambut.

"Saya dan pekerja menghabiskan masa sebulan menyiapkan peralatan perlindungan diri dan membiasakan diri dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu agar dapat menyesuaikan diri dengan normal baharu.

"Pekerja kami 'bercuti' selama tiga bulan, tetapi sekarang mereka bersedia menyambut pelanggan kami mulai esok," katanya.

Segar berkata, SOP baharu termasuk melantik seorang pekerja untuk membuat saringan suhu pelanggan dan mengesan maklumat hubungan, menjaga jarak dua meter antara setiap tempat duduk dan menyahkuman peralatan menggunting rambut sebelum melayani pelanggan seterusnya.

Katanya, satu daripada prosedur baharu membabitkan pelanggan memakai apron pakai buang berbanding yang boleh diguna semula sebelum ini.

"Disebabkan (SOP) itu dan peralatan baharu, kami akan mengenakan caj tambahan RM2 untuk setiap perkhidmatan yang disediakan.

"Biasanya (sebelum PKP), kami mengenakan bayaran RM8 untuk gunting rambut, tetapi mulai esok kami caj RM10 dan kami beroperasi mulai 8 pagi hingga 8.30 malam," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2020 @ 10:15pm
d