mutakhir

Bomba selamat warga emas nyaris terbakar

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

TINDAKAN pantas bomba berjaya menyelamatkan wanita warga emas daripada terperangkap dalam kebakaran di Pangsapuri Tulin, Taman Sri Jati, Kuala Lumpur, hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada 6.29 pagi dan jentera Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Petaling dikerah ke lokasi.

Komander Operasi Mohd Suhaimi Mohd Razali berkata, pihaknya tiba dengan kekuatan enam anggota segera bertindak dan menyelamatkan mangsa berusia 70 tahun.

"Kebakaran berlaku di sebuah bilik dalam rumah itu dan api berjaya dikawal pada 6.50 pagi.

"Mangsa tinggal sendirian, cedera di lutut dan trauma, dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)," katanya.

Beliau berkata, kebakaran padam sepenuhnya pada 7.30 pagi dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 9:03am
d