mutakhir

Namaku Mohd Yasser Arafat

Oleh Rosman Shamsudin

SEPANJANG 36 tahun kehidupannya, pemuda ini sudah biasa dengan pandangan pelik orang terhadap nama pemberian arwah bapanya.

Mohd Yasser Arafat Ishak berkata, nama itu sering jadi tanda tanya dan dia juga lali diusik rakan serta guru sejak di bangku sekolah rendah lagi.

Yasser Arafat adalah bekas pemimpin Palestin dan bapa Mohd Yasser Arafat, arwah Ishak Mohd Nor mengurniakan nama itu ilham daripada ketegangan berlaku di Palestin dan Amerika Syarikat pada 1984.

"Saya anak ketiga daripada enam beradik dan ketika dilahirkan pada 1984, arwah ayah menonton perjuangan Palestin menentang kekejaman zionis, justeru dia menamakan saya dengan nama pemimpin disegani negara itu," katanya.

Menurutnya lagi, setiap kali dia memperkenalkan diri kepada orang, mereka akan hairan dan mula meminta kad pengenalan untuk pengesahan identiti.

"Kebanyakannya ingat saya main-main. Tapi paling tidak boleh lupa adalah saat perkenalan dengan isteri di laman sosial.

"Dia mulanya menyangka saya menggunakan nama samaran. Apabila berjumpa dan tunjukkan kad pengenalan, barulah dia tahu dan Alhamdulillah hubungan kami ke jinjang pelamin dan kini dikurnia seorang anak lelaki berusia 10 tahun," katanya.

Mohd Yasser Arafat berbangga dengan nama itu yang sama dengan pemimpin Islam digeruni rejim zionis.

Disiarkan pada: June 10, 2020 @ 11:03am
d